Sejak dari zaman Universiti aku kerap meramal beberapa bisnes yang masuk dalam keliling hidup aku. Dan setiap kali aku meramal, ternyata ramalanku benar berlaku (macam lirik lagu pulak).
Ramalan pertama aku masa universiti ialah tentang Stromberg. Kes ini kalau ditanya dekat MMU Cyber dan Melaka, tahun 2006-2011 mesti akan tahu dan segar diingatan.
Dengan slogan "Meningkatkan Ekonomi islam" dan disertai ramainya ahli Usrah (macam persatuan Islam Mahasiswa). Bisnes Stromberg ini menjarah kepala otak Mahasiswa, dan ramailah yang backup dengan pelbagai slogan islami.
Aku dan beberapa rakan IU Cyber (geng haluan kiri, kah kah) yang jenis guna otak dan hati nurani. Cubalah buat kajian dan beberapa penyelidikan. Yang akhirnya, memberikan jawapan yang jelas, konkrit dan sejernih air di lautan sipadan. Bahawa stromberg ini scammer dengan nama Islam!
Waktu itu aku banyak menulis membongkarkan bejat-bejat Stromberg ini. Maka berduyun-duyunlah makian serta fitnah pada aku dan rakan-rakan haluan kiri. Kemuncaknya, mereka hantar geng untuk jumpa aku di Cafe Hb2 (fuhh aku masih ingat), kampus cyber.
Berbagai dalil agama dan alasan digunakan, untuk menghalal dan membrain wash kepala otak aku pula. Tapi apa nak buat, benda dah terang-terang salah. Aku memang takdelah nak menyokongnya pula.
Mereka datang, dengan harapan aku dapat mengubah dan menarik tulisan-tulisan aku di blog. Waktu tu aku memang aktif berblog, dan visitor puluh ribu juga. Mungkin disebabkan itu, diorang rasa tercabar dan takut tembelang terbongkar. (dan semememangnya dah terbongkar pun).
Selepas 2 tahun kes itu, barulah semua yang follow Stromberg ini tersedar. Bila Stromberg kesayangan tersenarai syarikat scam dan dimasukkan senarai hitam oleh SC.
Takde sorang pun minta maaf atau mengakui kesilapan diorang hentam aku. Semuanya senyap sepi. Begitulah 'islami' nya mereka dengan alasan menegakkan ekonomi Islam.
Sejak dari kes Stromberg, macam-macam bisnes orang bawa kat aku. Ada yang okay dan ada yang aku fikir dan check dulu.
Mana-mana bisnes yang aku dah ramalkan memang scam (aku bukan ramal, tapi aku buat kajian), aku dah siap--siap bagitahu yang nak join atau dah join.
Tapi semua kata "alaahh kau mana tahu. Aku tengok ramai kawan-kawan aku dah dapat untung ribu-ribu."
"Ini bisnes real lah. Aku dah 5 bulan dapat profit. Lagi banyak kau masuk lagi banyak kau dapat."
"kau masuk 1000usd je. Nanti bulan-bulan kau dapat Rm1000."
Macam-macam lagi lah.
Bagi aku, korang nak buat bisnes ke plan marketing ke, buatlah. Tapi pastikan tiada unsur penipuan, riba, gharar, monopoli (ihtikar), dan bukan barangan najis dan haram.
Antara beberapa . bisnes yang aku dah larang dan beritahu jangan masuk, tapi ramai yang masuk. Dan akhirnya tersontot ialah:
- uptrend2u
- lamberjer (macam mana ntah nak eja)
- Phytosciense
- Kongsimakan
- Empirebuck
Ramai yang join bisnes2 kat atas ini. Dan ramai yang aku dah beritahu. Tapi ramai yang gelap mata, bila dijanjikan untung bulan-bulan. Sekali je modal, lepas itu duduk saja akan jadi kaya.
Akhirnya ada yang labur 10K, 20K, 50K, tersontot. Sebahagian lain daaptlah rasa 2-3 bulan 'untung' yang sebenarnya modal orang lain yang dipusing-pusing. Dan juga produk-produk entah apa-apa, bertimbun-timbun di rumah.
Time dah tersontot tu aku takdelah gelakkan, tapi aku doa dan berharap yang terkena insaf dan fikirlah dengan panjang.
Dulu masa aku kerja sebagai akauntan dulu, ada kata keramat yang kami selalu pegang. "Too good too be true", selalu senior aku ingatkan. Kalau nampak je akaun yang macam cantikkkk je, yang itu kena check dulu.
ISU FOREX DATANG KEMBALI
Sekarang ini pula macam-macam skim pelaburan, yang disalut dengan pelbagai nama-nama baru. Pelaburan-pelaburan yang tidak patuh syariah, disadur dengan nama dan alasan-alasan supaya nampak Syariahnya.
Antara terbaru yang sempat aku dengar briefing ialah Etoro. Sebuah pelaburan copytrade, forex.
Diorang soo hard untuk nampakkan forex ini Islamik, sampai ada term Islamik Forex. Dan macam-macam lah lagi yang digebangkan masa briefing di Magic KL tempoh hari.
Yes, korang boleh buat duit dengan forex. Tapi bisnes ni bukan segalanya pasal untung dan duit. Ada perkara besar yang korang perlu ambil tahu, iaitu KEBERKATAN DAN HALAL.
Macam aku tulis kat atas, sebuah perniagaan yang syarie ialah perniagaan yang tiada unsur penipuan, riba, gharar, monopoli (ihtikar), dan bukan barangan najis dan haram.
Aku tanak ulas pasal Forex ini, sebab dah ramai sarjana Islam ulas benda ini yang mengatakan Forex ini tak syarie. Antaranya Ustaz Zaharuddin, Dr Daud Abu Bakar, dan ulama-ulama besar yang lain.
Tapi biasalah, benda dah sedap, korang bagilah banyak mana pun hujah, diorang akan kata korang cemburu tengok duit yang diorang ada.
Aku senaraikan beberapa fatwa, dan hujah-hujah para sarjana Islam tentang forex:
4- Yang ini research in english, >> http://islamicbanking.asia/wp-content/uploads/2016/10/April-June-2016.pdf
5- Kertas kerja dari International Shariah Research Academy for Islamic Finance >> http://www.zaharuddin.net/images/forextradingjakim.pdf
6- Kertas kerja dari Kumpulan Kajian Syariah dan perniagaan Islam UUM >> http://www.zaharuddin.net/images/forexjakim2.pdf
Cukuplah 6 artikel semuanya panjang-panjang yang menjelaskan tentang Forex ini. Macam aku cakap, kalau nak buat duit macam-macam cara boleh. Tapi sebagai Muslim, kita kenalah follow rules dan regulation yang Allah dah tetapkan.
Sebab semua itu ada hikmah yang Allah dah sediakan bagi mereka yang tinggalkan dan beriman dengannya.
WaAllahi, aku tak cemburu pun dengan duit-duit para peniaga forex ini. Aku juga kenal dengan broker-broker copytrade ini yang duit bertalu-talu masuk. Tapi apalah nilai duit-duit itu, kalau ia menjadi sebab kita akan berperang dengan Allah, kerana ada unsur riba di situ.
Firman Allah, "Oleh itu, kalau kamu tidak
juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan
adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui
selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok
asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada
sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa." (Surah Al Baqarah:279)
Kata Imam Al-Qurthubi, "maksud ayat “peperangan dengan Allah dan rasul” adalah berbentuk “hakiki”
(nyata) yang mana seolah-olah kita akan mengangkat senjata untuk berperang
dengan Allah dan rasul di akhirat kelak. Sebagaimana dalam Al Quran ada ayat
yang berbentuk “majazi” (perumpamaan)atau “hakiki” (nyata)."
Aku tulis panjang-panjang ini atas kesedaran dan aku harapkan orang yang berniaga forex ini sedar. Lebih-lebih lagi orang yang aku kenal, aku tak sanggup nak cakap depan-depan. Aku takut terguris hati, dan rosakkan silaturahim.
Dah lama aku pendam, dan hari ini aku rasa wajib bagi aku tulis. Sebab aku risau, duit-duit yang digunakan untuk makan, untuk anak-anak dari hasil duit-duit tersebut. Lagi-lagilah bila aku teringat tentang Berperang dengan Allah. Nauzubillah.
Aku tulis ini bukan nak memutus silaturahim, dan bergaduh. Aku tulis ini sebab aku sayang, dan aku concern tentang korang yang masih atau teringin nak main forex ini.
Baca dengan hati yang terbuka. Doalah kepada Allah, dan minta pentunjuk dari Allah. Aku tak mahu 'ramalan' aku terjadi pada korang, sama macam 'ramalan-ramalan' lepas. Kalau dulu ramalan rugi di dunia, tapi ramalan forex ini akan rugi dunia dan akhirat bro sis.
Sama-sama kita saling menasihati, supaya kita saling mendapat keberkatan dan rahmat Allah.
Terima kasih guys yang baca sampai habis.
[Melaka | 17 Jun]
0 Ulasan