"Bro aku nak cerita sikit dekat kau boleh?" Rizal call saya tengah-tengah malam. Agak pelik jugalah sebab dah lama dia tak contact. Rizal (bukan nama sebenar) antara sahabat baik saya semasa belajar di Johor dulu.
"Kau apa pasal? Tetiba je."
"Adik aku khianat aku bro." Terus dia diam, saya fikir mesti dia tengah memendam perasaan. Menahan rasa marah dan sedih, sebelum nak teruskan kata-kata.
"Rilek Zal. Pelan-pelan." Saya pula gelabah, tak sangka kawan yang happy go lucky dan selalu ceria tetiba sebak menahan sedih di hujung talian.
"Aku tak sangka, adik aku tulis di FB dan IG pasal hal dalaman keluarga aku. Habis semua dia cerita pasal aku, dan buka aib-aib yg sepatutnya seorang adik simpan sehingga mati! Aku sangka, keluargalah tempat paling selamat simpan rahsia-rahsia, rupa-rupanya tak."
Saya tak cakap apa pun, mendengar dengan penuh empati. Saya biarkan dia meluahkan segala yang terbuku. Kami dah lama berkawan, berbelas tahun. Dia pun tahu yang saya tak pernah bercerita pasal kawan-kawan dengan kawan-kawan lain. Bagi saya, bila seseorang itu meluahkan kepada kita rahsia mereka, bererti mereka letakkan 100% kepercayaan sebagai sahabat.
"Aku ini kalau jahat boleh je aku tulis aib-aib dia. Lagi besar dan lagi malu. Tapi buat apa? Untuk puaskan hati aku je? Aku bukan loser macam dia." Rizal teresak-esak. Saya biarkan saja. Saya pasti lepas dia melepaskan segalanya, semuanya akan baik-baik saja.
Malam itu hampir sejam kami berbual, kebanyakkan dia yang bercakap saya mendengar. Hancur hati dia, seorang adik telah mengkhianati dirinya.
Kisah ini pun sebelum ditulis semula, saya minta izin kepadanya.
Sebelum tamat berbual, ada satu perkataan yang berbekas di hati saya. Katanya, "Aku boleh maafkan adik aku, tetapi parut akan terus kekal, dan tiada lagi percaya aku pada dia."
Saya termenung sejenak, kepala ligat memikirkan apa yang baru saya dengar tadi. Keluarga sepatutnya tempat paling selamat menyimpan rahsia. Kepercayaan itu ada harga yang sangat besar dan tinggi. Jika sekali saja dirobek, takkan ada siapa akan percaya lagi.
Saya juga pernah bergaduh dengan adik beradik, tetapi ayah selalu pesan. Jangan sesekali masalah dan aib keluarga orang luar tahu. "Habis sini simpan sini."
Apa sebenarnya kita cari bila ceritakan masalah keluarga di media sosial? Membuka aib sesuka hati?
Lupa ke kita yang Islam sendiri menyuruh kita menutup aib saudara kita. Ini kan pula keluarga sendiri yang sepatutnya kita lindungi.
“Tidaklah seseorang hamba menutup aib hamba yang lain, melainkan Allah tutup aib hamba yang pertama tadi pada hari kiamat.” (Hadis riwayat Imam Muslim -2590 dalam sahih-nya)
Daripada Ibn Umar bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa yang mencari-cari aib (atau kelemahan) saudaranya yang Muslim, nescaya Allah akan membuka aibnya walaupun dia berada di dalam rumahnya.” (Hadis riwayat Imam al-Tirmidhi - 2032)
Sakit hati besar mana pun kita pada keluarga, selesaikanlah dengan cari baik dan betul. Menghebahkan di media sosial atau pada orang luar tidak akan selesaikan masalah. Malah ia akan menyemarakkan kemarahan dan kebencian.
Orang yang baik, dan orang yang Champion takkan sesekali cerita keburukan orang.
Semoga kita sentiasa waras, menjaga kepercayaan orang, dan sentiasa memaafkan orang lain. Hati-hati dengan 'fitnah' media sosial.
#keluargatempatpalingdipercayai
#jangankhianatikeluarga
#janganbukaaiboranglain
Yussamir
Sedia mendengar luahan hati sahabat :)
=====================================================
// Stay in Touch, Follow me on :
▸ website | www.broyus.com/
▸ instagram | http://instagram.com/yussamir
▸ facebook | https://www.facebook.com/Yussamiryusof
▸ twitter | http://twitter.com/yussamir
Business Inquiries : iamyussamir@gmail.com
0 Ulasan