Artikel Trending

6/recent/ticker-posts

Recent Posts

HAMBA RAMADHAN ATAU HAMBA TUHAN?


Kita semua sudah menghampiri penghujung bulan Ramadhan. Bulan yang penuh keberkatan dan mempunyai pelbagai kebaikan di dalamnya. Beruntung bagi mereka yang mengambil peluang ini dengan bersungguh-sungguh.


Bulan Ramadhan ini juga akan melihat ramai yang berubah, berhijrah menjadi lebih baik. Ada rakan-rakan kita dulu yang tidak menutup aurat, sudah mula berubah menutup aurat dengan sempurna. 


Lupakan orang lain, kita sendiri mungkin banyak perubahan berlaku di bulan Ramadhan. Dan perubahan ini diharapkan dapat berterusan dan terus menjadi sebahagian kebaikan yang kita perolehi dari Allah.


Kita mungkin akan mendengar suara-suara yang tidak sedap di atas perubahan yang berlaku di bulan Ramadhan ini.


"Alaa... fake je itu. Nanti lepas Ramadhan jadi hantu balik lah tu."

"Drama je tu..kau tengok lah nanti. Raya nanti jadilah pelesit balik."


Tapi percayalah, perubahan yang kita buat dengan niat kerana Allah, pasti mendapat kebaikan dan keredhaan Allah. Apabila kita berusaha untuk memperbaiki hubungan kita dengan Allah, Allah pasti akan memperbaiki hubungan kita dengan orang sekeliling.  


Memperbaiki hubungan kita dengan Allah adalah dengan memperbaiki ibadah, solat, dan semua perkara yang kita buat, kita sentiasa mengingati Allah. Apabila kita mengingati Allah, Allah akan mengingati diri kita.


Firman Allah, “Sebab itu, ingatlah kamu kepada-Ku niscaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat)-Ku.” (QS. Al-Baqarah[2]: 152)


Bergembiralah, sebab apabila Allah mengingati kita, pasti Allah akan berikan kepada kita pelbagai bentuk bantuan. Dan percayalah, apabila kita memperbaiki hubungan dengan Allah, Allah akan perbaiki hubunganNya dengan manusia.


Kata Nabi, “Apabila Allah mencintai seorang hamba, Allah akan memanggil Jibril dan Allah berfirman, “Wahai Jibril, sesungguhnya aku mencintai si Fulan, maka cintailah ia.”  Kemudian Jibril pun mengumumkan kepada seluruh makhluk yang ada di langit sana,  “Wahai penduduk langit, sesungguhnya si Fulan dicintai oleh Allah, maka cintailah ia” kemudian diterimalah penerimaan di muka bumi ini.” (Hadith Riwayat Bukhari)


Sempena Ramadhan 1442 ini, jom kita berubah menjadi orang yang baik dan sentiasa menyokong rakan-rakan dan orang sekeliling kita yang ingin berubah. Ketepikan sangka buruk, dan lihatlah dengan keimanan. 


Mereka yang berubah apabila berada di bulan Ramadhan, membuktikan bahawa terdapat iman dan malu dalam diri. Perasaan malu, dan perasan ingin merasai Ramadhan adalah nikmat Iman yang Allah campakkan dalam diri mereka. Dan siapalah kita untuk menghukum dan menghalang mereka dari mencari Redha Allah dan kasih sayangNya.


Sesungguhnya Allah tuhan yang mengampuni dan merindui para HambaNya untuk kembali dekat padaNya. Kata Rasulullah, “Sesungguhnya Allah begitu bergembira dengan taubat hamba-Nya melebihi kegembiraan seseorang di antara kalian yang menemukan kembali untanya yang telah hilang di suatu tanah yang luas.”  (Hadith Bukhari & Muslim)


Sama-sama kita berdoa agar terus konsisten dalam kebaikan dan keimanan. Dan sama-sama berdoa agar Allah terima segala amalan kita di bulan Ramadhan ini. Kita tidak menyembah Ramadhan, tetapi kita menyembah Tuhan bulan Ramadhan.


Jadilah hamba yang taat sepanjang masa kerana Allah dan jangan hanya menjadi ahli ibadah selama sebulan Ramadan – (Dr Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya Rabbaniyyin Laisa Ramadhaniyyin)




Follow me on Instagram: https://www.instagram.com/yussamir/ 
Facebook: https://www.facebook.com/Yussamiryusof 
Twitter: https://twitter.com/yussamir
Website: www.labelsendiri.com
#broyus #labelsendiri

Catat Ulasan

0 Ulasan

Ad Code