Artikel Trending

6/recent/ticker-posts

Recent Posts

MASA MEMATANGKAN CARA FIKIR




Masa adalah pendidik paling dekat dan sentiasa bersama kita. Setiap masa, Masa akan mendidik dan membentuk diri kita menjadi seseorang. Sama ada menjadi seseorang yang berguna, mahupun tidak berguna. 

Kematangan kita dalam memahami dunia, kehidupan, agama dan diri juga berkait rapat dengan Masa. Kalau kita lihat ke belakang, betapa banyak perkara  telah berubah dan terus berubah di sekeliling kita. Terutamanya Kematangan dalam berfikir.

Kita mungkin pernah terfikir dan merasa, cara fikir dan cara kita bertindak sudah berbeza. Dahulu ketika berusia belasan tahun, kita tidak pernah fikir panjang dalam melakukan sesuatu. Orang kata "Bedal je."

Setelah menginjak ke usia dua puluhan, kita merasakan kita sajalah yang betul dan banyak perkara harus dibetulkan. Kalau ketika itu kita berada dalam zaman media massa ; facebook , misalnya. Sudah pasti tittle Keyboard Warrior menjadi tanda diri kita.

Masa terus bergerak, sama juga dengan diri dan cara fikir kita. Ketika masuk ke usia 30-an, banyak hal dan tanggungjawab di atas bahu kita. Bebanan-bebanan tersebut sedikit sebanyak menjadikan kita lelaki/wanita dewasa yang panjang fikirnya.

Sesekali apabila menoleh ke Masa lalu, kita akan tergelak, atau tersenyum sendirian. Apatah lagi jika kita boleh membaca tulisan-tulisan lama di Facebook atau blog-blog yang pernah ditulis.

Ini yang berlaku pada diri saya. Telah banyak masa saya bazirkan dahulu untuk membetulkan 'salah' orang lain, sehingga banyak hati-hati terguris dan terluka. Telah banyak tenaga saya dihabiskan untuk perkara-perkara yang tidak perlu dengan perdebatan dan ketegangan. Hinggakan ada air mata yang mengalir kerana ungkapan-ungkapan 'sahih dan benar' pernah saya ucapkan. 


Terima kasih Masa. Kerana MASA, ya masa. Masa menjadi saksi dan pendidik kita sepanjang masa. Dari masa ke semasa, cara pandangan kita berbeza, kita melihat sesuatu dengan lebih besar dan objektif. Uban-uban semakin banyak tumbuh, janggut dan misai juga semakin menebal dan mata juga telah semakin kelabu.

Berfikir panjang bukan bererti dunggu, tetapi berfikir panjang seperti guru. Melihat keliling, berkira-kira risiko dan impak, dan sudah pasti dosa pahala menjadi penanda aras. Jika kita masih tertanya-tanya, adakah Masa telah banyak berubah diri. Lihatlah cara kita bertindak.

Antaranya jika kita menulis panjang di Facebook, dipadam semula. Kurang menjawab di bahagian-bahagian komen orang lain, tidak mengambil tahu hal-hal peribadi orang lain. Dan bila difikirkan semula, YaAllah....tenangnya hati dan kepala. Itulah antara paling besar boleh kita lihat berlaku pada diri sendiir.

Jangan salah faham, bukan tidak mahu mengambil tahu tentang orang lain, tetapi cukuplah menjaga diri, keluarga dan orang terdekat. Jika baik mereka, baiklah kita juga. 

Tulislah banyak mana pun, berdebat hingga habis internet, atau bercakap berleret-leret. Jika kita tidak kuasa yang boleh sampai ke pangkal, bagaikan seperti anjing menyalak bukit. Sia-sia berhabis Masa dan tenaga, kerana ia tidak memberi impak besar dan kesan.

Ya mungkin orang akan kata "kuasa viral" dan sebagainya. Tetapi sampai bila. Jiwa tidak tenteram, sentiasa berkeluh kesah, merisaukan orang lain, dan melihat segalanya salah.

Biarlah kita menjadi seperti Abu Dzar al-Gifari, bersendirian tetapi dijamin Syurga dicintai Nabi. Bukan seperti Abu Lahab, berdegar-degar, tetapi hujungnya tetap di Neraka Jahanam.

Tidak...tidak..Saya tidak katakan tentang orang lain. Tetapi sekadar meluah rasa, kerana Masa telah banyak menyedar dan mendidik jiwa. Kini hidup lebih terasa penuh, dan tenang. Tidak perlu sibuk-sibuk memikirkan orang lain, kerana melihat semuanya dengan kebaikan dan terus mencipta kebaikan.

Saya menulis kerana Masa telah banyak berubah diri dan cara fikir saya sendiri. Lebih-lebih lagi apabila teringat-ingat peringatan Allah tentang masa dan fikir. Firman Allah, "Bukankah kami telah melanjutkan Usia kamu dan memberikan MASA yang cukup untuk BERFIKIR" (Surah al-Fatir ayat 37).

Akhirnya, kepada Tuhan jua kita serahkan segalanya. 


#BroYus
"Seeru Ala Barakatillah" berjalanlah di atas keberkatan Allah.
Melaka, 22 Jun 2021
Rumah Manis Rumah
www.labelsendiri.com

Catat Ulasan

0 Ulasan

Ad Code