Artikel Trending

6/recent/ticker-posts

Recent Posts

CARA MANDI WAJIB YANG BETUL


Cara-Cara Mandi Wajib Mengikut Sunnah


Mungkin ada dari kita masih belum jelas cara mandi wajib yang betul, walaupun dah lama akhil baligh. Dan mungkin ada yang buat asal boleh sahaja, atau asal buat saja, sebab malu nak bertanya atau nak belajar.


Jangan risau, kalau anda memang tengah search pasal ini di google dan terbaca posting saya ini. Saya ucapkan tahniah sebab berusaha tambah ilmu untuk lebih faham dan yakin untuk mandi wajib.


Jadinya... posting kali ini saya nak berkongsi cara mudah yang betul dan tepat mandi wajib, berdasarkan hadis-hadis Nabi. InsyaAllah lepas baca, akan lebih faham dan yakin bila mandi wajib nanti.


Kita mulakan dengan sebuah hadis dari Ibnu Abbas. Kata Ibnu Abbas:


عن ابن عباس قال: قالت ميمونة: وضعت لرسول الله صلى الله عليه وسلم ماء يغتسل به، فأفرغ على يديه، فغسلهما مرتين أو ثلاثا، ثم أفرغ بيمينه على شماله، فغسل مذاكيره، ثم دلك يده بالأرض، ثم مضمض واستنشق، ثم غسل وجهه ويديه، وغسل رأسه ثلاثا، ثم أفرغ على جسده، ثم تنحى من مقامه، فغسل قدميه.


Dari Ibn ‘Abbas RA, beliau berkata: Maimunah RA berkata: Aku meletakkan air untuk Rasulullah SAW mandi wajib. Baginda SAW menyiram kedua tangannya dan membasuh kedua tangannya dua atau tiga kali. Seterusnya Baginda SAW menyiram air dengan tangan kanannya ke tangan kirinya dan membasuh kemaluannya (dengan menggunakan tangan kiri). Selepas itu, Baginda SAW menyapu tangannya ke tanah, kemudian Baginda SAW memasukkaan air ke dalam hidung dan mulut kemudian mengeluarkannya. Seterusnya Baginda SAW membasuh mukanya dan kedua tangannya dan membasuh kepalanya tiga kali. Selepas itu Baginda SAW menyiram air ke atas tubuhnya, kemudian baginda saw berpindah dari tempat tersebut dan mencuci kedua kakinya. (hadis riwayat Imam al-Bukhari)


Berdasarkan hadis di atas, saya senaraikan cara-cara dalam bentuk point untuk lebih mudah faham dan ikut. 


1) Niat. Ini berdasarkan hadis yang popular bahawa setiap amal mestilah dengan niat.


2) Membaca ‘Bismillah’.


3) Mencuci tangan sebanyak tiga kali.


4) Mencuci kemaluan dengan tangan kiri.


5) Menggosokkan tangan kiri ke tanah (kalau ada) kemudian mencucinya. Atau boleh gantikan dengannya dengan sabun.


6) Berwudhu'. Wudhu' boleh dilakukan seperti wudhu untuk solat.


7) Menyela-nyela rambut dengan rata, kemudian menyiramnya 3 kali dengan air sepenuh dua telapak tangan. Ini berdasarkan hadis dari Aisyah di dalam sahih al-Bukhari:


ثم يدخل أصابعه في الماء، فيخلل بها أصول شعره، ثم يصب على رأسه ثلاث غرف بيديه


“Kemudian Baginda SAW memasukkan jari-jarinya ke dalam air, kemudian menyela-nyela rambutnya, kemudia menyiram kepalanya 3 kali dengan kedua tangannya.”

 

Ketika menyiram kepala hendaklah dimulakan dari bahagian kanan, kemudian belah kiri, dan seterusnya ke bahagian tengah kepala. Ini berdasarkan hadis dari ‘Aisyah RA di dalam sahih Muslim (318):

. بدأ بشق رأسه الأيمن. ثم الأيسر

Baginda SAW menyiram kepalanya di bahagian kanan, kemudia bahagian kiri.

 

Bagi wanita yang dalam keadaan junub, dibolehkan untuk tidak melepaskan ikatan rambutnya. Ini berdasarkan hadis Ummu Salamah RA.


عن أم سلمة، قالت: قلت: يا رسول الله! إني امرأة أشد ضفر رأسي. فأنقضه لغسل الجنابة؟ قال “لا. إنما يكفيك أن تحثي على رأسك ثلاث حثيات. ثم تفيضين عليك الماء فتطهرين


Dari Ummu Salamah RA, beliau berkata: Aku berkata kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah SAW، sesungguhnya aku perempuan yang suka mengikat rambutku. Perlukah aku membuka ikatan tersebut ketika mandi junub? Jawab Rasulullah SAW: “Tidak, cukuplah bagi kamu dengan dengan menyiramkan air ke atas kepala kamu sebanyak 3 kali dan meratakan air ke seluruh tubuh kamu, dan kamu sudah dikira sudah bersuci." (Sahih Muslim:330)

 

Akan tetapi jika mandi kerana haidh, maka dianjurkan untuk melepaskan ikatan rambut. Ini berdasarkan hadis ‘Aisyah ra di dalam sahih al-Bukhari di mana beliau kedatangan haidh ketika menunaikan haji. Kemudian baginda saw bersabda:

 

دعي عمرتك، وانقضي رأسك، وامتشطي

“Tinggalkanlah umrahmu, lepaskanlah ikatan rambutmu (ketika mandi) dan sisirlah rambutmu”

 

8) Memulakan dengan bahagian kanan tubuh.


عن عائشة؛ قالت: إن كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يحب التيمن في شأنه كله. في نعليه، وترجله، وطهوره


Dari ‘Aisyah RA: Sesungguhnya Rasulullah SAW suka mendahulukan bahagian kanan pada semua urusannya, ketika memakai kasut, ketika bersikat dan ketika bersuci. (Sahih Muslim:268)

 

9) Meratakan air ke seluruh tubuh badan.  Meratakan seluruh tubuh badan bermakna, semua bahagian tubuh, termasuk bahagian lipatan seperti ketiak, kelengkang dan lain-lain. 


10) Beralih dari tempat mandi dan membasuh kaki.



Semoga dengan 10 step by step ini dapat kita fahami, dan lakukan dengan tertib. Tak susah dan sukar mana pun untuk dapatkan yang terbaik.


Semoga Allah berikan kefahaman agama kepada kita semua dengan baik.




Rujukan:

طهور المسلم في ضوء الكتاب و السنة مفهوم و فضائل وآداب و احكام

 Thaharah Nabi, tuntunan bersuci lengkap oleh Syeikh Said bin Ali bin Wahf al-Qahtani




Catat Ulasan

0 Ulasan

Ad Code